Kerajaan perlu laksana reformasi sistem perkhidmatan kesihatan


  • Primer
  • Selasa, 05 Okt 2021

KERAJAAN perlu mewujudkan hospital rujukan khusus atau fasiliti khusus.

KERAJAAN perlu membuat reformasi menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar dan luar bandar, kata Senator Wan Martina Wan Yusoff.

Menurut beliau reformasi berkenaan haruslah merangkumi isu berkaitan fasiliti, masalah doktor kontrak, peluang latihan kepakaran dan ketidakseimbangan nisbah doktor dengan penduduk.

"Kerajaan juga perlu mewujudkan hospital rujukan khusus atau fasiliti khusus dilengkapi dengan segala kelengkapan, termasuk peralatan ujian serta tenaga kerja dalam mendepani penyakit berjangkit.

"Selain itu, kerajaan perlu bersedia dengan bagi menghadapi situasi cabaran atau krisis kesihatan menerusi persediaan guna tenaga dan prasarana kesihatan selain menggariskan pelan perancangan, pelan strategik dan pelan pengurusan risiko," katanya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga perlu memikirkan kes rawatan pakar yang terpaksa disumberluarkan ke hospital swasta, pembedahan elektif, rawatan ulangan ke atas pesakit kronik yang tertangguh yang bakal mengundang komplikasi yang lebih berat.

Sementara itu beliau turut berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia adalah sekitar 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ini masih lagi kurang berbanding tujuh peratus yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Perkara sama turut dibangkitakan oleh Senator Robert Lau Hui Yew yang memberitahu, Hospital Sibu merupakan hospital rujukan utama bagi Zon Tengah Sarawak, yang memberikan perkhidmatan kepada satu juta populasi dari Kapit dan Selangau.

Katanya keadaan terkini di Hospital Sibu amat menyedihkan dan lebih membimbangkan pusat rawatan itu mengalami kekurangan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan.

"Kita berdepan dengan jumlah katil yang tidak mencukupi untuk pesakit Covid-19 dan biasa malah, ada pesakit terpaksa menunggu di wad kecemasan berjam-jam sementara menunggu katil.

"Walaupun ada wad sementara yang sedang ditubuhkan tetapi cuma ada 28 katil unit rawatan rapi," ujarnya.

Jelasnya beliau berharap Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf Hospital Sibu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ini berikutan dalam RMK11 sejumlah RM2.83 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf hospital tersebut.

Dalam pada itu, Senator Dr Nuing Jeluing yang juga sependapat, mencadangkan agar KKM melihat semula keperluan Sarawak untuk mempunyai tiga hospital bertaraf negeri iaitu di Sibu dan Miri selain di Kuching.

Hurainya, untuk bahagian Miri, beliau mencadangkan agar Poliklinik Tudan dinaik taraf sebagai hospital satelit kerana bandar raya Miri hanya ada sebuah hospital untuk penduduk lebih kurang 500,000 orang.

"Hospital ini akan berfungsi sebagai hospital rujukan untuk Wilayah Utara merangkumi bahagian Miri dan Limbang malah, sekarang hospital ini ada 349 katil.

"Secara dasar saya difahamkan satu negeri hanya boleh ada satu hospital bertaraf hospital negeri, kerana itu di Sarawak hanya hospital di Kuching sahaja yang bertaraf hospital negeri, seperti Perlis ada sebuah hospital negeri," jelasnya.

Katanya lagi, penambahan hospital negeri di Sarawak amat diperlukan kerana saiz negeri itu yang yang lebih kurang besar dengan Semenanjung Malaysia.— Bernama

dewan negara, kesihatan, reformasi, KKM, miri, sibu, kuching