KELUARGA Malaysia yang bakal menyambut Deepavali pada Khamis ini dinasihatkan supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, dalam kemeriahan menyambut perayaan itu mereka perlu terus berhati-hati dan menjaga kesihatan.
“Kepada seluruh masyarakat kaum Hindu di seluruh negara, saya ucapkan selamat menyambut Hari Deepavali,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di Little India, dekat ibu negara pada Isnin.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Mengulas mengenai lawatannya, Ismail Sabri berkata, rata-rata peniaga ditemui berpuas hati kerana mereka dapat kembali berniaga seperti sedia kala.
“Saya difahamkan apabila kita buka peluang untuk mereka berniaga, sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan.
“Orang ramai pula ketika ditanya, mereka gembira kerana ada peluang untuk beli-belah,” katanya.
Dalam tinjauan kira-kira satu jam itu juga, beliau sempat membeli-belah pakaian sempena perayaan itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram