Khidmat pakar penyelidik vaksin disambung lima tahun secara kontrak


  • Primer
  • Isnin, 01 Nov 2021

ISMAIL Sabri berkata, Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa. —The Star

KHIDMAT pakar penyelidik berkaitan vaksin di universiti yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun, disambung secara kontrak bagi tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan berkuat kuasa serta merta itu bagi memastikan pakar-pakar berkaitan yang masih menjalankan penyelidikan berkaitan vaksin, terutamanya melibatkan subjek yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa dapat meneruskan dan menghabiskan penyelidikan mereka.

“Jadi tidak ada lagi soal tidak terjamin dari segi tugas yang sedang mereka laksanakan, jadi mereka boleh teruskan (khidmat) selama lima tahun dan selepas itu kita akan tengok keperluan sama ada boleh tambah lagi atau tidak.

“Syaratnya ialah kajian dan pembangunan (R&D) yang mereka lakukan tersebut boleh dikomersialkan, dan dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa dan disebabkan itu, negara tidak mahu kehilangan bakat ini yang mungkin akan diambil oleh negara lain disebabkan faktor tamat perkhidmatan.

“Kalau tidak disambung (perkhidmatan) akan jejaskan kajian mereka dan kalau (kajian) disambung pakar baru mungkin akan makan masanya,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah pakar yang dijangka terlibat dengan keputusan kerajaan itu, beliau berkata, data berkaitan akan diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Berhubung pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser yang sedang dijalankan, Ismail Sabri berkata, Malaysia adalah negara pertama yang sedang melaksanakan penghasilan vaksin tersebut.

“Jadi kita mampu tawarkan vaksin sendiri sebab itulah kerajaan naik taraf Institut Genom Malaysia ini kepada Insitut Genom dan Vaksin Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penyelidik, vaksin, Covid-19