RM80 juta peruntukan untuk bantu usahawan di Selangor


  • Bizz
  • Rabu, 27 Okt 2021

AMIRUDIN memberitahu skim Hijrah Selangor menawarkan jumlah pembiayaan yang bergantung kepada keperluan dan sektor yang diceburi oleh usahawan. — The Star

YAYASAN Hijrah Selangor menerusi skim pembiayaan terbaharu, Hijrah Selangor memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk membantu usahawan di negeri itu.

Skim tersebut juga bertujuan untuk memulih dan memulakan semula perniagaan akibat terkesan daripada pandemik Covid-19.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan menawarkan jumlah pembiayaan yang bergantung kepada keperluan dan sektor yang diceburi oleh usahawan terbabit.

"Skim ini meliputi pembiayaan Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim.

"Ia dibuka bermula hari ini sehingga tahun hadapan untuk usahawan berumur 18 tahun dan ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran skim tersebut di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Tambah beliau lagi, Skim i-Lestari menawarkan modal tambahan bermula RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan dan berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Manakala Skim i-Agro ditawarkan kepada usahawan dalam sektor pertanian, penternakan dan akuakultur dengan modal tambahan bermula RM1,000 hingga RM5,000 bagi membantu usahawan dalam penyediaan hub bekalan makanan secukupnya khususnya untuk rakyat di Selangor.

Selain itu penawaran Skim i-Agro juga akan dapat menggalakkan generasi kedua petani terutamanya belia dan graduan yang menganggur untuk menceburi bidang pertanian.

Katanya, Skim i-Bermusim pula diperkenalkan kepada usahawan yang memerlukan modal pusingan perniagaan yang menjalankan perniagaan bermusim seperti bazar Ramadan dan perayaan serta gerai buah-buahan bermusim.

Amirudin berkata permohonan skim tersebut boleh dibuat di 20 cawangan Hijrah Selangor dan maklumat lanjut diterangkan melalui laman web www.hijrahselangor.com.Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram