FAMA sasar RM200 juta kutipan jualan menjelang akhir 2021


  • Bizz
  • Isnin, 25 Okt 2021

FAMA percaya boleh mencapai sasaran kutipan jualan sebanyak RM200 juta menjelang akhir tahun nanti. — Gambar hiasan/The Star

SEBANYAK RM122 juta hasil jualan dicatatkan menerusi rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 1 September hingga 18 Oktober 2021, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Bidin Yang Razali, seramai lebih 12,131 usahawan dan 2.26 juta pelanggan menikmati kemudahan untuk mendapatkan produk agromakanan menerusi pembukaan 368 rangkaian outlet di seluruh negara.

“Pembukaan rangkaian outlet mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia menunjukkan satu indikator positif berikutan jumlah dan hasil keuntungan yang dicapai melebihi daripada sasaran awal ditetapkan FAMA,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembukaan semula rangkaian outlet FAMA merangkumi 35 pasar tani kekal, 266 pasar tani, 19 medan gerai buah-buahan segar, lima Agrobazaar R&R serta lima pasar tamu.

Jelas beliau pihaknya menyasarkan untuk membuka sebanyak 241 outlet namun, sehingga 18 Oktober, pihaknya telah membuka 368 outlet di peringkat awal.

"Dari segi jumlah usahawan, kita menyasarkan sebanyak 6,000 usahawan dan itu (sasaran) sehingga Disember tetapi setakat Isnin lepas, lebih 12,000 usahawan telah menjalankan perniagaan.

"Dari segi nilai jualan pula, kita menyasarkan sebanyak RM200 juta sehingga 31 Disember ini, namun sehingga kini nilai jualan yang telah dijana oleh usahawan setakat Isnin lepas mencatatkan nilai jualan sebanyak RM122 juta,’ ujarnya.

Beliau juga percaya menjelang akhir tahun nanti FAMA boleh mencapai lebih daripada yang disasarkan.

Terdahulu, satu sesi sidang video antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar telah diadakan di FAMA Negeri Johor pada Isnin.

Ronald turut menyampaikan sumbangan 2.5 tan metrik produk agro makanan menerusi MAFI Prihatin kepada enam buah rumah kebajikan masyarakat di sekitar Johor Bahru yang memberi manfaat kepada 350 penerima.

Sumbangan berkenaan turut disampaikan kepada 200 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menerusi MAFI Prihatin melalui FAMA, bagi tempoh Jun hingga 18 Oktober, sebanyak 90 tan metrik makanan telah disalurkan melibatkan nilai RM330,000 telah diberikan kepada 40,000 penerima di 209 lokasi di seluruh negara.

Di Johor pula, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 3,480 individu di 14 lokasi di seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM35,000. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram