Sistem perkhidmatan JPJ dinaik taraf ke arah pendigitalan


  • Primer
  • Sabtu, 23 Okt 2021

USAHA pendigitalan JPJ akan membantu mengurangkan tempoh menunggu orang ramai. — Gambar hiasan/The Star

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses menaik taraf sistem perkhidmatannya ke arah pendigitalan secara berperingkat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kepada pelanggan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pendigitalan berkenaan melibatkan semua perkhidmatan JPJ termasuk memperbaharui lesen kenderaan motor selaras dengan slogan sambutan Jubli Platinum (Ulang Tahun ke-75) JPJ pada April lalu iaitu 'Digitalisasi Melestari Integriti'.

"Itu antara usaha terkini yang kita akan gerakkan dalam masa terdekat selepas melalui semua proses yang sepatutnya.

"Setakat ini, usaha ini mencapai lebih 50 peratus meliputi semua aspek termasuk pengumpulan maklumat dan penyediaan infrastruktur bagi melaksanakannya,” katanya pada Sabtu.

Tambah Zailani, setakat ini, antara perkhidmatan yang melalui proses pendigitalan ialah pembelian nombor kenderaan menerusi sistem JPJeBid manakala sistem JPJeQ iaitu nombor giliran bagi melakukan urus niaga JPJ dilaksanakan di beberapa kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara.

"Kita jangkakan sistem JPJeQ ini akan diguna pakai di semua kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara pada tahun hadapan bagi memudahkan pelanggan dan melancarkan urusan mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, JPJ berjaya mengumpul kutipan hasil mencecah RM3 bilion dalam tempoh Januari hingga September tahun ini walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Tahun lepas kita berjaya mengutip hasil berjumlah RM4.2 bilion tetapi disebabkan Covid-19, jumlah itu sedikit berkurang namun saya yakin kita dapat mencapai sasaran RM4 bilion kutipan untuk tahun ini.

"JPJ bernasib baik sebab kita ada perkhidmatan secara dalam talian selain kerjasama dengan rakan strategik seperti Pos Malaysia, Puspakom dan MyEG yang membantu dari segi kutipan hasil," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, perkhidmatan, pendigitalan, naik taraf,