PRN Melaka: Pas, Bersatu perlu elak sikap tamak


  • Massa
  • Ahad, 31 Okt 2021

PERTEMBUNGAN tiga penjuru berkemungkinan berlaku di PRN Melaka pada November. — Gambar hiasan/Agensi

PARTI Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berpijak di bumi yang nyata dan mengelakkan bersikap tamak sekiranya mahu meraih lebih banyak kerusi di Pilihan Raya Negeri (Melaka).

Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kedua-dua parti terbabit perlu sedar bahawa Melaka merupakan kubu kuat Umno.

Jelas beliau, formula ajaib perlu disegerakan oleh ketiga-tiga parti berkenaan dan tidak boleh lagi bercakaran kerana jalan sukar bakal menanti mereka di PRN Melaka.

"Saya lihat ada perundingan perbincangan antara tiga parti namun masih menemui jalan buntu.

"Dan sudah pasti Pas dan Bersatu perlu menilai semula dan berapa kerusi yang mahu ditandingi di PRN Melaka.

"Kalau kita lihat di Melaka itu kubu Umno, kalau di Kelantan itu kubu Pas, maka kena realistik tentang persekitaran politik khususnya di Melaka. Masalah akan selesai," katanya.

Tambah beliau, Pas dinasihatkan agar tidak terus dengan sikap 'primadona'nya bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka.

"Ego politik dalam Umno, Pas dan Bersatu perlu dipecahkan segera sekiranya tiga parti ini berhasrat memenangi PRN Melaka," ujarnya. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram