PRN Melaka: PKR tuntut penjelasan Khairy selepas dikompaun RM10,000


  • Politik
  • Ahad, 31 Okt 2021

SHAMSUL Iskandar mendesak Khairy dan Ismail Sabri supaya meneliti perincian SOP PRN Melaka. — Gambar fail/Astro Awani

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendesak agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan berhubung perincian larangan perhimpunan sosial Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas parti berkenaan dikompaun sebanyak RM10,000 kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, meskipun parti terbabit menggunakan pendekatan ceramah secara mobil dan alat siar raya sejak Sabtu, namun tetap dikenakan kompaun oleh pihak polis.

"Pendekatan seperti ini tidak ada pertemuan atau perkumpulan yang mungkin dibimbangi wujud kluster dan sebagainya.

"Program itu tidak boleh kita takrif majlis sosial, ia program 'hit and run'. Jadi saya kesal sewaktu kami menganjurkan program itu di Taman Krubong Jaya, Ayer Keroh, Melaka, pasukan polis mengeluarkan kompaun yang mengatakan kesalahan kami ingkar SOP kerana mengadakan kempen pilihan raya," jelasnya dalam sidang media pada Ahad.

Tegas Shamsul Iskandar, pendekatan yang kreatif diguna pakai untuk memastikan tiada penyebaran Covid-19 berlaku, namun masih dikenakan kompaun.

"Ini perkara amat dikesali, buat pertama kali Keadilan cuba jadi parti kreatif untuk gunakan pendekatan lebih teliti supaya tidak berlaku kontak fizikal dan sebagainya.

"Tetapi polis masih lagi ingin mengeluarkan kompaun atas kesalahan kononnya mengadakan kempen pilihan raya.

"Kita nak tegaskan kami diberikan kompaun RM10,000 bagi saya amat tidak munasabah kerana tidak ada kontak fizikal, hanya program mobil bergerak," ujar beliau.

Justeru, beliau mendesak agar Khairy dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneliti larangan yang dikenakan itu bagi memastikan demokrasi di negara ini tidak diperolok-olokkan.

"Ini perkara yang amat saya dikesali, saya desak Khairy meneliti dengan lebih tepat apa perinciannya dalam konteks tidak boleh mengadakan majlis sosial dalam tempoh pilihan raya.

"Saya akan tulis surat kepada Khairy, saya ingin tegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya dapat jelaskan kepada anggota di bawah.

"Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata," katanya. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram