Takkan saya sebodoh itu – Muhyiddin


  • Politik
  • Ahad, 31 Okt 2021

GAMBAR Muhyiddin memulangkan semula baki RM5 ketika Gerai Prihatin Rakyat yang cuba disensasikan pihak tertentu. — Facebook

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau cuba merasuah pengundi di Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Terdahulu, tular sekeping gambar di media sosial menunjukkan Muhyiddin menghulurkan wang RM5 kepada seseorang.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kejadian sebenar ketika itu adalah memulangkan baki wang selepas individu yang menerima itu membeli barangan dalam Program Gerai Prihatin Rakyat.

"Tak ada, saya duduk dengan Mohd Rafiq. Mereka (pembeli) ini nak (beli barang). Dia bagi RM20, satu barang tu RM15, jadi saya serah (baki) kepada dia.

"Saya dah agak, mesti ada orang niat jahat kata tengok Tan Sri Muhyiddin bagi rasuah. Tak ada, itu niat baik, itu duit baki.

“Kalau mereka nak beli tiga barang RM45, pulang balik RM5. Takkan saya sebodoh itu," katanya.

Ketika mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan Gerai Prihatin Rakyat digunakan sebagai medium berkempen, Muhyiddin menjelaskan inisiatif itu sudah pun dijalankan enam bulan lalu bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Sewajarnya mungkin sebab mereka iri hati, kalau ada pun mereka iri hati dengan Datuk Mohd Rafiq yang mulakan, bukan baharu, dah enam bulan berlangsung dan masih berterusan.

"Ini perkara amat saya hargai kerana mereka teruskan usaha pihak kerajaan beri bantuan kepada ramai orang Melaka memerlukan bantuan barangan lebih berpatutan harga sederhana diberikan kemudahan.

"Jadi saya fikir tidak ada salah. Yang penting mereka hargai usaha sebegini untuk menolong rakyat.

"Apa kerajaan buat, parti kita buat, itu langkah sewajarnya langkah harus dihargai semua pihak," katanya. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram