Lelaki ditahan bantu siasatan kematian, perkosa adik ipar


  • 112
  • Ahad, 31 Okt 2021

SUSPEK ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. — Gambar hiasan

POLIS Kelantan menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga adik ipar suspek, di Kota Bharu pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ditahan anggota polis pada jam 4 petang.

Ujar beliau, polis menerima laporan berhubung kematian seorang remaja di Bunut Susu, Pasir Mas pada jam 6.30 petang Jumaat lalu dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Sabtu mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘Asphyxia’ (Lemas).

"Kesan luka dikesan pada bahagian muka, tengkuk remaja itu, di samping kesan koyakan baharu pada kemaluan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Shafien, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan suspek pula menemukan kesan calar pada bahu kiri bahagian belakang disyaki berpunca daripada cakaran kuku.

"Ekoran tangkapan itu, polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram