Polis tahan dua lelaki bantu kes pecah rumah, rogol pekerja warga asing


  • 112
  • Khamis, 14 Okt 2021

SHAFEE memberitahu kedua-dua suspek ditahan secara berasingan di kawasan SPT pada Rabu.

POLIS menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pecah masuk asrama wanita pekerja warga asing di kawasan perumahan di Perai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, 12 Oktober, kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun turut dipercayai menyamun dan merogol salah seorang pekerja wanita warga asing di asrama terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, kedua-dua suspek terbabit kini direman sehingga 17 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Mereka telah ditahan secara berasingan di kawasan SPT pada Rabu.

"Kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Shafee turut mengulas ketika kejadian mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja warga asing.

Katanya, ketika mangsa sedang tidur, dia dikejutkan oleh seorang lelaki yang masuk ke biliknya lalu meletakkan objek tajam di lehernya.

"Suspek tersebut kemudiannya telah merogol mangsa selain mencuri wangnya sebanyak RM200," ujarnya. — Majoriti

Polis, lelaki, warga tempatan, suspek, siasatan, PDRM, rogol