'Mengganas' guna jengkaut, polis tahan tiga lelaki


  • 112
  • Ahad, 10 Okt 2021

POLIS menyiasat kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan kejadian pelanggaran sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger menggunakan jengkaut. — Facebook

POLIS menahan tiga lelaki pada Sabtu bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan kes pelanggaran sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger menggunakan jengkaut di kebun kelapa sawit di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, di sini Rabu lepas.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki bertindak agresif dengan melanggar kereta mangsa menggunakan jengkaut.

Dua video berdurasi satu minit lebih dan 18 saat yang memaparkan kejadian tersebut telah dikongsikan salah seorang pengguna Facebook, Arif Daniel baru-baru ini.

Menerusi hantaran tersebut, anak kepada tuan tanah mendakwa kejadian berlaku di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak yang mana ayahnya terpaksa mengorek laluan ke sebuah kebun untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di tanah tersebut.

"Ayah aku baru beli tanah, di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak, dan laluan jalan utama itu termasuk dalam kawasan batu sempadan.

"Disebabkan kawasan berada di tepi sungai dan selalu banjir, pukul 12 tengahari ayah korek tanah dekat jalan utama yang berada dalam kawasan batu sempadan untuk membuat kelubung air supaya tidak banjir, tapi kerja terhenti sebab hujan pada pukul satu.

"Kemudian pukul dua hingga tiga petang hari yang sama, datang tujuh lelaki dengan lagak gengster bawak backhoe (jengkaut) untuk timbus jalan tersebut, tetapi dihalang oleh ayah aku.

"Ayah aku cakap elok-elok minta guna laluan lain untuk sementara waktu, sebab mahu selesaikan masalah banjir, tapi mereka tetap berkeras dengan lagak samseng," tulis hantaran tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dua daripada mereka yang berusia 28 tahun manakala seorang lagi berusia 47 tahun ditahan kira-kira 4 petang selepas polis menerima laporan kejadian daripada mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air kerana kawasan tersebut dinaiki air, kira-kira 10 pagi, Rabu lepas.

"Apabila mangsa dan bapanya yang menaiki Ford Ranger itu tiba di kebun mereka pada 2.30 petang, hari sama, kedua-duanya mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi terbabit telah ditimbus beberapa individu yang tidak dikenali mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ahmad Adnan berkata kira-kira setengah jam kemudian, kedua-dua beranak itu didatangi tiga lelaki termasuk seorang daripadanya memandu sebuah jengkaut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.

Beliau berkata bapa mangsa cuba memaklumkan tujuan parit digali namun tetap dimarahi sebelum seorang daripada lelaki terbabit menampar leher mangsa manakala pemandu jengkaut bertindak melanggar Ford Ranger itu hingga mengalami kerosakan.

Katanya pemandu jengkaut itu kemudian keluar daripada kenderaannya dan mengejar bapa mangsa sambil membawa tukul besi yang menyebabkan ketakutan kepada mangsa dan bapanya.

"Punca kejadian berlaku dipercayai disebabkan laluan yang digali mangsa merupakan laluan utama bagi pekebun sawit untuk ke kawasan tersebut dan mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar tidak bertangkung di kebun milik mangsa.

"Disebabkan parit digali di tengah jalan, ia akan menyukarkan pekebun sawit lain yang terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun” katanya.

Ahmad Adnan berkata ketiga-tiga lelaki itu yang tidak mempunyai rekod jenayah kini sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 323, 427 dan 506 Kanun Keseksaan. — Majoriti

jengkaut, polis, Teluk Intan, tular