Gesa syarat mohon geran homestay dilonggarkan


  • Massa
  • Ahad, 31 Okt 2021

SYARAT yang terlalu ketat mungkin menyebabkan pemilik inap desa kecewa dan berputus asa untuk membuat permohonan. — Gambar hiasan/The Star

SYARAT kelayakan permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan membabitkan peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022 wajar dilonggarkan.

Saranan itu dibuat Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) bagi membolehkan syarat yang ditetapkan lebih fleksibel kepada pemilik inap desa.

Presiden MKHA, Zohaime Muhamad Sori berkata, syarat yang terlalu ketat mungkin menyebabkan pemilik inap desa kecewa dan berputus asa untuk membuat permohonan.

“Melalui geran sebelum ini, kami terpaksa melalui karenah birokrasi yang terlalu ‘rigid’ sehingga membebankan. Jadi kami berharap agar syarat kelayakan permohonan ini dapat dilonggarkan.

“Kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu pemilik inap desa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong.

“Apatah lagi selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 memperuntukkan RM1.6 bilion menerusi tujuh inisiatif utama bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Peruntukan RM30 juta geran padanan bagi pembaikan kepada pemilik inap desa dan 738 hotel bajet berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun melihat pembentangan Bajet 2022 sektor pelancongan, memenuhi semua keperluan yang diminta oleh industri itu.

“Jika hendak dibandingkan dengan bajet sebelum ini, kali ini kami cukup berpuas hati dengan apa yang diberi oleh kerajaan,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram