Bajet 2022 sektor pendidikan bersifat usaha jangka pendek — Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 30 Okt 2021

KERAJAAN seharusnya segera melakukan anjakan paradigma dengan membuka lebih banyak ruang untuk pendigitalan pendidikan.

BAJET 2022 tidak ada elemen pembaharuan bagi memantapkan sistem pendidikan yang terkesan akibat Pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

anuar ukm

ANUAR mengatakan bahawa peruntukkan Bajet 2022 tidak menjelaskan apakah inisiatif kerajaan dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, seharusnya elemen transformasi pendidikan perlu memfokuskan kepada usaha untuk memperkasakan pendigitalan pendidikan mendapat lebih perhatian di dalam Bajet 2022.

Katanya, jika diteliti secara menyeluruh Bajet 2022 untuk sektor pendidikan, matlamatnya lebih tertumpu untuk memastikan sistem persekolahan dapat kembali beroperasi seperti sebelum Covid-19 dan murid-murid dapat kembali belajar seperti sedia kala.

"Pengalaman hampir dua tahun dalam melaksanakan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) menunjukkan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya segera melakukan anjakan paradigma sistem pendidikan.

"Ia termasuk dengan membuka lebih banyak ruang untuk pendigitalan pendidikan yang diintegrasikan dalam sistem pembelajaran di sekolah," katanya.

Tambahnya lagi, peruntukan untuk kemudahan pendigitalan dan infra internet yang laju sangat diperlukan di semua kawasan sekolah khususnya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

Jelas beliau lagi, peruntukan khusus untuk latihan semula para pendidik berkaitan kemahiran pendigitalan pengajaran dan pembelajaran juga adalah perlu.

Ini berikutan, peruntukan khusus sepatutnya diadakan untuk penyediaan bahan-bahan pembelajaran digital untuk kemudahan murid-murid.

"Peruntukan ‘one-off’ juga sepatutnya disediakan untuk program intervensi dan pemulihan pendidikan khususnya untuk murid-murid di tahun satu dan dua.

"Ia bertujuan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan di dalam penguasaan kemahiran asas 3M sebelum masuk ke tahap 2 sekolah rendah di tahun empat hingga enam.

"Begitu juga dengan program khas untuk intervensi dan pemulihan untuk murid-murid kelas peralihan sebelum masuk ke tingkatan satu," ujarnya.

Hurai Anuar lagi, Bajet 2022 untuk sektor pendidikan dilihat lebih bersifat usaha jangka pendek di mana kerajaan nampaknya lebih menumpukan kepada usaha memulakan semula sistem pendidikan yang terganggu sejak bulan April 2020 yang lalu.

Katanya lagi, peruntukan bajet itu tidak menjelaskan apakah inisiatif kerajaan dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara untuk jangka panjang khususnya berkaitan peningkatan kualiti keguruan, pendigitalan pendidikan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Sebagai contoh seperti mengurangkan jumlah murid di dalam sesuatu bilik darjah.

"Bajet 2022 bagi sektor pendidikan nampaknya belum boleh dilihat sebagai titik mula untuk KPM melakukan transformasi sistem pendidikan negara.

"Ia lebih kepada memulihkan kembali apa telah ada dan akan dikekalkan sebagaimana sebelum pandemik Covid 19 bermula dahulu.

"Ini jelas berbeza dengan usaha beberapa negara lain termasuk negara jiran di selatan kita yang semakin aktif melakukan penjajaran kurikulum dan meningkatkan kemahiran guru dan kandungan berasaskan digitalisasi pendidikan sejak beberapa bulan yang lalu," kongsinya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bajet 2022, pendidikan, UKM, PdPR, KPM Covid-19