KPKT nafi tawar skim pinjaman KWSP melalui iklan


  • Primer
  • Rabu, 06 Okt 2021

KPKT menafikan penglibatannya dengan iklan yang menawarkan skim pinjaman KWSP seperti yang tular di media sosial.

TIADA sebarang penglibatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan iklan yang menawarkan skim pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang tular di media sosial dan laman web.

Ia berikutan iklan yang menyasarkan pemilik akaun KWSP tersebut menggunakan nama syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen atau kredit komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.

KPKT memaklumkan, iklan tersebut menawarkan pinjaman dengan kadar faedah antara lima hingga tujuh peratus sebulan, jauh melebihi kadar faedah yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) (Akta 400) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu.

Ia juga mengandungi maklumat pinjaman mencurigakan bertujuan memperdaya orang ramai, antaranya skim pinjaman tanpa bayaran bulanan dengan hanya penyata KWSP diperlukan bagi semakan kelayakan pinjaman, dengan sasaran individu berumur antara 48 hingga 55 tahun.

KPKT yang memandang serius iklan berkenaan menegaskan bahawa urusan dengan pihak kredit komuniti hanya boleh dilakukan dalam premis perniagaan berdaftar dan sah sahaja.

"Orang ramai perlu mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT dahulu sebelum sebarang perjanjian dibuat dan tidak menandatangani perjanjian kosong," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

KPKT berkata, iklan berkenaan dikhuatiri menjejaskan imej dan kredibiliti sektor kredit komuniti dan memberi implikasi negatif kepada orang ramai khususnya peminjam yang terjebak dengan aktiviti yang tidak bertanggungjawab tersebut.

KPKT berkata, mana-mana syarikat kredit komuniti berlesen yang didapati terlibat dengan pinjaman mengelirukan atau mengenakan kadar faedah tinggi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17A Akta 400 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 ataupun hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya. — Majoriti

KWSP, KPKT, pinjaman