Enggan divaksin, guru kena tindakan usah salahkan kerajaan


  • Primer
  • Sabtu, 30 Okt 2021

MOHAMAD berkata, guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meyakinkan masyarakat bahawa sekolah adalah tempat selamat. — Bernama

SEKIRANYA tindakan disiplin diambil ke atas guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menolak suntikan vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah, mereka diminta untuk tidak menyalahkan kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, tindakan itu akan dilaksana pada 1 November ini dan guru sebagai penjawat awam, tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mewajibkan mereka mengambil vaksin serta perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum tarikh tersebut.

Setakat Sabtu, katanya, terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19.

"Justeru, saya merayu kepada guru-guru berkenaan untuk tampil mendapatkan suntikan sebelum kembali ke sekolah, jangan salahkan KPM dan kerajaan sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

"Ini bukan hukuman atau amaran tetapi untuk keselamatan pelajar, jangan sampai ibu bapa hilang keyakinan tentang keselamatan anak di sekolah," katanya.

Mohamad berkata, guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meyakinkan masyarakat bahawa sekolah adalah tempat selamat.

Tambahnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan permasalahan kuarters guru daif terutama dalam aspek kebersihan dan keselamatan untuk memberi keselesaan kepada golongan pendidik yang mendiaminya.

"... kita tidak mahu perkara itu terus berlarutan. Pihak PPD perlu segera mengangkat permasalahan yang ada untuk dipertimbang kelulusan di peringkat kementerian," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

guru, KPM, vaksin