WARGA pendidik perlu segera mendapatkan vaksin Covid-19 demi perlindungan diri dan pelajar sekolah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, itu perlu diambil perhatian meskipun pengambilan vaksin belum menjadi kewajipan bagi guru.
"Guru yang belum divaksin berisiko meningkatkan jangkitan kerana bakal bersemuka dengan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas kelak.
"Misalnya, guru sekolah rendah yang belum dapat vaksin, ia akan merisikokan murid mereka termasuk rakan-rakan guru, sebab itu Kementerian Pendidikan tegas dalam aspek vaksin ini," katanya.
Tambah beliau lagi, golongan guru perlu mengambil tanggungjawab untuk melindungi kesihatan rakan sejawat di sekolah dan juga murid-murid.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia kepada pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32, Pahang pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.
Menurut Ismail Sabri, sekiranya belum mendapat vaksinasi, golongan ini tidak akan dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada individu yang sudah mendapatkan vaksin, misalnya rentas negeri.
Justeru, beliau meminta warga pendidik dan individu lain yang belum mendapatkan suntikan vaksin, agar segera berbuat demikian.
Menyentuh mengenai bantuan peranti itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau mengharapkan ia dapat membantu meningkatkan mutu pelajaran pelajar sekali gus membaiki keputusan peperiksaan mereka.
"Kita harap mereka gunakan peranti ini dengan betul dan manfaatkan sepenuhnya, misalnya menggunakannya mencari bahan tambahan untuk belajar...bila dah ada peranti, capaian internet juga penting, dan saya sudah minta pihak terlibat naik taraf (internet) di kawasan-kawasan yang mempunyai capaian interent kurang memuaskan,” katanya. — Majoriti