BARU-BARU ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa kerajaan menyemak kembali tarikh cuti akhir tahun dengan memberi lanjutan sekurang-kurangnya seminggu lagi bagi membolehkan guru-guru membuat persiapan mencukupi.
Beliau yang juga pencetus program gerakan pendidikan #UntukMalaysia berkata, walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan cuti akhir tahun selama tiga minggu, namun menjadi amalan sekolah di Malaysia untuk memanggil guru kembali berkhidmat seminggu lebih awal bagi melakukan persediaan mereka.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bagaimanapun menyifatkan takwim persekolahan yang dikeluarkan oleh KPM adalah bersesuaian dan wajar dikekalkan.
Ini kerana, Presidennya, Aminuddin Awang berpendapat, pertambahan cuti seminggu akan merencatkan perancangan ke arah melancarkan proses penurunan ilmu kepada murid yang sudah tidak lama ke sekolah.
Biarpun NUTP berpendapat sedemikian, tinjauan Majoriti di Facebook NUTP mendapati kebanyakan netizen yang dipercayai ahli kesatuan itu melahirkan pendapat berbeza. Rata-rata mereka menganggap cuti tambahan seminggu itu wajar diberikan kepada golongan guru seperti yang digesa oleh Maszlee.
"NUTP menyuarakan suara siapa ya? Semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), guru, murid dan ibu bapa bersusah payah memenuhi tuntutan silibus. Bukan kami (guru) duduk diam sahaja," kata NorraFida Abd Rahman.
Menurutnya, jika cuti akhir tahun selama tiga minggu itu kekal, dia meminta supaya jangan diadakan mesyuarat ketika guru-guru sedang bercuti kerana ia adalah hak golongan pendidik untuk mendapatkan rehat berkualiti.
"Cuti ini adalah hak guru, murid dan ibu bapa yang bertungkus-lumus memastikan penggunaan pusat sumber sekolah (PSS) PDP sampai kepada murid. Ibu bapa pun nak bercuti dengan anak-anak mereka," tulisnya.
Seorang lagi netizen, Fairuz Ibrahim pula melahirkan kekecewaan kerana NUTP didakwa seolah-olah tidak mewakili kesatuan guru.
"NUTP mewakili kesatuan guru atau sebaliknya, kalau payah sangat pasal isu cuti yang tidak berapa nak cuti ni, berikan kemudahan cuti (kepada guru) seperti penjawat awam lain. Tidak perlu ikut cuti sekolah," katanya.
Netizen yang menggunakan nama Kongsi Kejayaan Walitz Kotaz pula berpendapat NUTP kurang bijak dalam mengeluarkan pendapat terhadap isu berkenaan.
Dia berkata, NUTP sepatutnya mencadangkan kepada kerajaan supaya cuti sekolah akhir tahun kembali seperti asal.
"NUTP tak fikir selama ini guru-guru buat PdPR bukan atas kehendak mereka. Ini takdir (ekoran pandemik Covid-19). Oleh kerana keadaan beransur pulih seperti biasa, maka amat wajar dicadangkan cuti ditambah seminggu lagi," tulisnya.
TANGKAP layar komen netizen terhadap kenyataan NUTP berhubung isu cuti guru.
Pengguna Facebook, Wan Hassan Wan Mamat pula berkata, dia juga berharap KPM mempertimbangkan cadangan untuk menambah tempoh seminggu lagi cuti sekolah pada hujung tahun ini.
Katanya, ia penting demi memberi peluang kepada guru-guru yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Ada guru tidak sempat pulang ke kampung halaman untuk bersua muka dengan orang tersayang ketika PKP lalu," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, cuti akhir tahun bagi sesi persekolahan tahun ini akan bermula pada 10 dan 11 Disember hingga 31 Disember mengikut negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram