Duti eksais jadikan vape 'halal' tapi mahal


  • Massa
  • Sabtu, 30 Okt 2021

KERAJAAN bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

CADANGAN kerajaan untuk mengenakan duti eksais kepada produk cecair atau gel bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape akan membolehkan barangan itu dijual secara 'halal' sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, nilai RM1.20 untuk setiap mililiter (ml) cecair bagaimanapun disifatkan terlalu tinggi untuk permulaan penguatkuasaan.

"Setiap 5 ml cecair vape akan ada penambahan harga RM6 menerusi cukai yang bermaksud, cecair perisa 30 ml akan dikenakan cukai RM36 dan ini tidak masuk akal. Vape sistem tertutup. Berapa harga jualan nanti?

"Akhirnya kerajaan mungkin gagal untuk mengutip cukai apabila ramai yang mengelak untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Majoriti pada Sabtu.

Ridhwan berkata, dalam situasi tersebut, vape tidak lagi menjadi alternatif apabila harga lebih mahal berbanding rokok sekali gus menimbulkan masalah sama dengan rokok seperti adanya rokok seludup.

Untuk itu, beliau berkata, perincian penguatkuasan perlu diperhalusi secara teliti dan mencadangkan nilai RM0.40 per ml sebagai permulaan untuk vape bernikotin.

"Kadar tersebut boleh diperhalusi dari masa ke masa selepas melihat keberkesanan penguatkuasaan," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengusaha vape tempatan, Adrian Lo berpendapat cadangan itu wajar kerana adalah lebih baik jika produk cecair atau gel bernikotin dikenakan cukai kerana ia menjadikan vape sah di sisi undang-undang negara.

Pada masa sama, dia berpendapat pengenaan cukai itu akan menjadikan harga barangan tersebut berkemungkinan naik sedikit berbanding biasa.

"Cuma kalau cadangan pengenaan duti eksais ini dilaksanakan kelak, ramai vapers mungkin terasa sedikit sebab harganya berpotensi jadi lebih mahal," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Untuk rekod, laporan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyatakan bahawa kutipan eksais cecair vape berjumlah RM100,000 pada suku tahun 2021 jauh lebih rendah berbanding anggaran industri sebanyak RM300 juta setahun.

Kutipan yang rendah itu disebabkan oleh pelaksanaan eksais rokok elektrik hanya kepada cecair tanpa nikotin yang mewakili tiga peratus daripada keseluruhan pasaran, manakala baki 97 peratus adalah cecair vape bernikotin yang kini tidak dikawal selia dan tidak dikenakan cukai.

Sementara itu, dari sudut berbeza, doktor perubatan, Dr Arisman Wenge Abd Rahman kesal kerana Malaysia masih belum mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok mahupun vape.

Menurutnya, duit yang kerajaan perolehi hasil penjualan dan cukai rokok serta vape masih belum mencukupi untuk menampung kos perawatan jumlah pesakit yang menderita akibat bahan itu.

"Penyebab kematian utama di Malaysia adalah penyakit jantung tersumbat dan merokok adalah salah satu faktor risiko utama menyumbang kepada munculnya penyakit tersebut.

"Selain itu, ramai ibu dan anak-anak yang tidak merokok jatuh sakit kerana asap rokok daripada 'ketua rumah' mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram