Vape, minuman 3-in-1 bakal dikenakan cukai


  • Primer
  • Jumaat, 29 Okt 2021

DUTI eksais bakal dikenakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape. — The Star

KERAJAAN bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa gaya hidup sihat dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Pengenaan duti eksais diperluas kepada produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape," katanya membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.

Kerajaan sebelum ini disyor menaikkan cukai vape untuk menambah hasil pendapatan negara berbanding kadar 40 sen yang dikenakan bagi setiap mililiter (ml) ketika ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, kadar 40 sen agak rendah sedangkan beberapa tahun lagi sumbangan industri vape dijangka mencecah RM10 bilion. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram