Kenapa perlu kuarantin kalau cukup vaksin, soal kesatuan


  • Massa
  • Jumaat, 29 Okt 2021

TIDAK wajar mengenakan perintah kuarantin jika seseorang pelancong sudah lengkap suntikan vaksin.

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia meminta kerajaan supaya mengecualikan pelaksanaan kuarantin kepada mana-mana pelancong yang tiba ke Malaysia sekiranya sudah lengkap suntikan vaksin.

Kesatuan itu memahami usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 namun gesaan itu dibuat selepas mengambil kira tujuan sebenar penggunaan vaksin.

Walaupun tidak melihat sebarang keperluan kuarantin, segala prosedur operasi standard (SOP) lain wajar diteruskan dan diamalkan oleh setiap pelancong mengikut apa yang ditetapkan.

Setiausaha Agungnya, Rusli Affandi berkata, jika individu yang sudah lengkap vaksin, adalah tidak menjadi isu sekiranya tidak ada tempoh kuarantin.

“Tak perlu kuarantin sebab apa guna kita ambil dua dos vaksin dan sekarang nak kenalkan pula suntikan ketiga. Kalau mereka yang tidak divaksin, memang saya percaya relevannya untuk mengenakan kuarantin.

“Untuk pelancong asing pun sama, tidak perlulah nak kuarantin. Kalau dah lengkap vaksin pun dikenakan kuarantin, apa beza dengan orang yang tidak divaksin.

“Apabila lengkap vaksin, patut bolehlah berbalik seperti situasi normal. Tetapi dalam masa saya kena jagalah juga SOP,” katanya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sebelum ini dilaporkan menjelaskan pengembara makin kecewa dengan ketetapan perjalanan sepanjang Covid-19.

Tinjauan yang dilakukan IATA mendedahkan majoriti pelancong mahukan kebebasan untuk melancong dan Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata, ramai antara pelancong tidak melihat sebarang keperluan untuk mengenakan sekatan.

Dalam masa sama, Rusli menegaskan sebarang ketetapan haruslah dilaksanakan secara adil dan sama rata tanpa mengira kedudukan seseorang individu.

“Banyak lagi yang flip-flop. Ada ahli politik yang tidak dikuarantin. SOP tidak boleh ada beza rakyat dan menteri, semuanya kena sama,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram