PRN Melaka: Kempen secara 'online' bakal ubah senario pilihan raya


  • Massa
  • Khamis, 28 Okt 2021

PRN Melaka akan melonjakkan penggunaan media massa dan media sosial untuk mendekati kira-kira 495,196 pengundi. — Gambar hiasan

PROSEDUR operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketat dilihat akan mengubah corak berkempen dan pada masa sama menyemarakkan penggunaan media massa serta media sosial sebagai kaedah penting meraih undi.

Bagi Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkempen secara fizikal tidak lagi perlu atau boleh dikurangkan dan parti-parti serta individu bertanding boleh berkempen menggunakan platform media sosial dalam keadaan pandemik Covid-19.

"Bagi pengundi, saya merasakan ia tidak menjadi masalah dan masih boleh mengikut SOP ditetapkan. Yang kita bimbang dan menjadi masalah adalah semasa tempoh kempen yang tidak mengikut SOP. Ini boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Tambah Mohd Izani, bagi lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), undi secara pos boleh dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi membolehkan pengundi di kawasan itu menunaikan tanggungjawab mereka.

"Hak mengundi dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kalau dilarang, orang akan pertikaikannya. Mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memikirkan kaedah terbaik untuk mereka jalankan tanggungjawab dan pada masa yang sama pematuhan SOP adalah perkara yang paling penting diambil perhatian,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, meskipun kaedah kempen sukar dikawal namun ia wajar diberikan perhatian serius semua pihak.

"Untuk mendisiplinkan jentera parti, ia memerlukan kerjasama yang telus dari parti-parti yang bertanding agar dapat mengelak sebarang ruang untuk merebaknya jangkitan. Kempen rumah ke rumah dan perhimpunan seharusnya dielakkan dan pihak berkuasa perlu membuat pemantauan yang berkesan agar SOP dipatuhi.

"Saya setuju, kehadiran penyokong dan wakil calon perlu dihadkan kerana kita memahami situasi semasa yang boleh mengundang sebarang risiko, walaupun melibatkan ketidakpatuhan minimum. Keghairahan penyokong dan aktivis parti perlu dikawal oleh pimpinan agar tidak membawa musibah kepada rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Walaupun SOP sepenuhnya belum diumumkan oleh SPR namun pendedahan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tentang larangan berkempen semasa PRN dalam usaha menyekat penularan Covid-19 mencetuskan ketidakpuasan banyak parti politik yang mahukan pandangan mereka turut diambil kira.

Bagi parti-parti politik, berkempen adalah segala-galanya dalam sesuatu pilihan raya untuk meraih undi namun ketiadaannya membuat pilihan raya umpama beku kerana mereka tidak boleh bersemuka dengan pengundi melalui amalan ziarah rumah ke rumah, ceramah atau syarahan terbuka dan acara tinjauan mesra. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN, melaka, kempen, SOP, COVID-19