'Musuh kepada musuh kita, adalah kawan' — Pendekatan PAS-Umno hadapi PRN Melaka


  • Massa
  • Khamis, 28 Okt 2021

GAGASAN MN antara Umno-PAS boleh dikembangkan dengan membawa parti-parti lain yang ada matlamat sama. — Gambar hiasan/ The Star

GAGASAN Muafakat Nasional (MN) perlu diteruskan memandangkan kerjasama politik Umno dan PAS berjaya dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebelum ini, kata pakar politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr. Ilyas Abdullah berkata, dalam siri PRK tersebut, PAS dilihat lebih banyak bertolak ansur dengan parti-parti politik tertentu dengan tidak meletakkan calon bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Beliau berkata, PAS dilihat lebih mengambil pendekatan 'musuh kepada musuh kita, adalah kawan' bagi mengelakkan Melaka dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November depan.

"Terdapat beberapa kawasan seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Durian Tunggal, Klebang yang dimenangi PH dalam PRU-14 mampu dikuasai BN sekiranya PAS jitu menyokong BN sepertimana yang disepakati dalam MN," katanya kepada Majoriti.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat juga pelbagai suara-suara sinis mengatakan bahawa PAS hari ini dilihat menjadi platform parti-parti tertentu untuk ke puncak kuasa melalui sokongan penyokongnya.

Katanya, kemenangan demi kemenangan dicapai dalam PRK memberikan gambaran bahawa sokongan daripada penyokong PAS mampu menjadi kunci kemenangan.

"Dalam siri PRK tersebut, PAS dilihat lebih banyak bertolak ansur dengan parti-parti politik tertentu dengan tidak meletakkan calon bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

"Justeru adalah wajar sekiranya PAS turut mengambil tindakan dengan tidak meletakkan calon dalam PRN di Melaka dan biar BN bertanding secara bersendirian di samping mengharapkan sokongan pengundi PAS," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Sivamurugan Pandian juga bersetuju agar gagasan MN diteruskan dan menyifatkannya boleh dikembangkan dengan membawa parti-parti lain yang ada matlamat sama.

"Kerjasama Umno dan PAS membuah hasil dengan beberapa siri kemenangan jadi tiada masalah diteruskan," katanya mengulas mengenai dakwaan MN tidak lagi relevan dan aktif sejak penubuhan Perikatan Nasional.

Sementara itu, berhubung larangan berkempen secara bersemuka, beliau berkata, pendekatan luar biasa perlu dibuat kerana tanggungjawab menjaga keselamatan pengundi termasuk dalam amalan demokrasi.

"Pengundi sudah kenal calon dan parti. Hanya parti yang tidak menunjukkan prestasi sepanjang 2018 hingga 2021 perlu gusar jika ketiadaan kempen besar.

"Ini juga masanya mencari acuan baharu berkempen supaya pengajaran PRN Sabah dapat dijadikan iktibar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram