MASYARAKAT India di negara ini telah lama mengkritik mengenai penyelewengan dan penyalahgunaan dana yang diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), namun perkara itu seolah-olah tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib.
Presiden Media Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dan banyak kali disebut di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.
"Puluhan juta ringgit peruntukan agensi itu sepatutnya mencukupi untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat India dalam negara ini. Sayangnya, ia telah disalah guna dan tidak sampai kepada golongan sasaran.
"Dapatan audit LKAN bagi tahun 2017 dengan jelas telah mendapati bahawa prestasi pengurusan agensi ini kurang cekap ditambah pula 84% daripada program yang dirancang tiada bukti pelaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian susulan pengangkapan 17 individu, termasuk pengarah syarikat, yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan Mitra oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.
Tambah beliau, peruntukan besar yang telah disediakan kerajaan untuk unit tersebut adalah dengan jelas bertujuan membantu golongan B40 dan memperkasa bidang pendidikan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat India.
Namun, LKAN sebelum ini menyatakan dengan jelas bahawa amalan tadbir urus dan pemantauan terhadap proses penilaian dan pelaksanaan program oleh Mitra adalah amat lemah.
Jelasnya, seramai 63% peserta memberi pandangan bahawa program tersebut tidak bermanfaat dan mereka masih berada di tahap yang sama kerana tidak dapat mempraktikkan ilmu yang telah diberikan.
Mengulas lanjut, Jais mengalu-alukan penahanan yang dilakukan oleh pihak SPRM dan menyifatkannya sebagai lembaran baharu dalam usaha memulihkan masa hadapan golongan India bagi memastikan mereka mampu berdiri sama tinggi dalam negara ini.
"Usaha ini mesti ditambah baik dengan memastikan tiada ketirisan dan salah guna kuasa bagi memastikan perkongsian kemakmuran negara yang adil dan saksama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram