Bantuan khas RM700 kepada penjawat awam


  • Primer
  • Jumaat, 29 Okt 2021

KERAJAAN turut umum beberapa inisiatif lain untuk penjawat awam dalam Bajet 2022. — Bernama

SERAMAI 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

"... (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” ujarnya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu 'Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam' Bajet 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera'.

Selain itu, Zafrul berkata, gantian cuti rehat juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Tambahnya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram