SEBUAH video menunjukkan kereta pacuan empat roda merempuh restoran dalam satu kejadian di Kajang tular di laman sosial.
Video tersebut terdahulunya dikongsi pengguna Twitter @hafizxromli pada Rabu sebelum tular di laman Facebook.
Menerusi video berdurasi 1 minit 20 saat itu, kenderaan terbabit dilihat merempuh sebuah kereta sebelum terbabas di kanan jalan dan melanggar kedai dalam kejadian berhampiran Restoran Naina Maju, Taman Jenaris, Kajang.
Gara-gara rempuhan dahsyat itu, netizen membuat andaian pemandu kereta itu mungkin diserang sawan ketika memandu hingga menyebabkan dia secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.
Ada juga netizen mengandaikan kemungkinan pemandu berkenaan diserang strok dan sakit jantung yang membuatkannya bertindak di luar kawalan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan bahawa pemandu Toyota Hilux itu sebenarnya pengsan ketika memandu gara-gara tidak makan dalam kejadian pada pukul 6 petang.
Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu pitam ketika memandu akibat tidak makan dan terus panik selepas tersedar ketika nahas itu berlaku.
"Kedua-dua pemandu tidak cedera, namun kenderaan mereka ada kerosakan susulan kemalangan berkenaan.
"Hasil ujian alkohol mendapati pemandu Hilux tidak mabuk ketika memandu, manakala ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu negatif dadah," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Jelasnya lagi, kemalangan tersebut turut membabitkan sebuah kenderaan Perodua Alza.
Bagaimanapun, menurutnya, kedua-dua pihak terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kerosakan kenderaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram