KERAJAAN merancang untuk mewujudkan ‘laluan perjalanan yang divaksin’ bagi pengembara antara Malaysia dan Singapura dalam usaha memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara berkenaan kini dalam proses perbincangan melibatkan beberapa kementerian dari kedua-dua negara, antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri.
Ujar beliau, laluan khas perjalanan yang divaksin bagi pengembara antara Malaysia dan Singapura itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri, Ismail Sabri Yaakob setelah ia diluluskan.
"Semalam saya baru bersama dengan pihak kedutaan Singapura dan mungkin esok (Jumaat) saya akan bermesyuarat bersama Menteri Perdagangan Singapura untuk perbincangan lebih lanjut serta menteri-menteri lain turut akan berbincang dengan 'counterpart' mereka dari Singapura demi untuk melancarkan lagi perancangan kita.
"Kita akan teruskan perbincangan esok (Jumaat) dan kita akan bawa ke mesyuarat majlis keselamatan,” jelasnya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Mengulas mengenai kemasukan pelancong antarabangsa, Nancy berkata, semua pemain industri bersedia untuk menerima kemasukan pelancong asing mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram