Singapura perluas program tanpa kuarantin


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

SEORANG penumpang Singapore Airlines di bawah skim VTL, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada Selasa. — AFP
SINGAPURA membenarkan kemasukan warga asing dari lapan buah negara tanpa perlu menjalani kuarantin bermula Selasa.

Langkah berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian pelan negara itu untuk melonggarkan sekatan.

Kelonggaran terbaharu itu memperluaskan lagi program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) yang diperkenalkan oleh Singapura pada bulan lalu.

Sehingga Selasa, sembilan buah negara dibenarkan untuk memasuki Singapura iaitu Jerman, Brunei, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Britain, Denmark, Perancis, Itali, Sepanyol dan Belanda.

Menurut syarikat penerbangan Singapore Airlines, penerbangan di bawah skim tersebut dijadualkan berlepas dari Amsterdam, Belanda; London, Britain; Los Angeles dan New York, AS pada Selasa.

"Kami menerima banyak permintaan yang sangat tinggi untuk penerbangan VTL.

"Ini meliputi semua kelas kabin serta pelbagai segmen perjalanan termasuklah riadah, keluarga dan perjalanan perniagaan," kata syarikat itu.

Pelancong asing yang tiba ke Singapura di bawah skim berkenaan termasuklah Korea Selatan bermula 15 November kelak, tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya mereka lengkap divaksinasi dan diuji negatif sebelum berlepas atau ketika tiba di negara itu.

Bagi memastikan sesebuah keluarga melancong, Singapura membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak menerima suntikan vaksinasi, masuk ke negara itu dengan syarat perlu ditemani oleh mereka yang melakukan perjalanan di bawah skim terbabit. — AFP

Singapura, VTL, kuarantin, Covid-19