BN dikompaun RM10,000 langgar SOP lancar jentera PRN Melaka


  • Primer
  • Khamis, 28 Okt 2021

PENGERUSI BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada pelancaran jentera PRN Melaka di WTC pada Rabu. — Bernama

PEJABAT Kesihatan Kepong mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran majlis sosial.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran Facebook pada Khamis menjelaskan, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana penganjuran majlis sosial di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) pada Rabu.

Ia dibuat atas nama Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz atas sebab parti itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (1) PPPAPB (langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurut notis tersebut, tawaran kompaun RM10,000 akan habis tempoh pada 9 November ini.

Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, WTC itu turut dihadiri Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.

BN pada Rabu melancarkan jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di WTC dengan dihadiri oleh Pengerusi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta hampir kesemua pemimpin kanan parti itu.

KKM pada Ahad menguatkuasakan larangan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya yang berkuatkuasa mulai 25 Oktober hingga 27 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram