Biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s selamat — KKM


  • Primer
  • Rabu, 27 Okt 2021

PURATA kandungan acrylamide bagi produk biskut di pasaran tempatan adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram). — Gambar Hiasan/The Star

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa produk biskut di pasaran tempatan mempunyai purata acrylamide di bawah paras yang ditetapkan oleh Peraturan Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU).

Perkara itu dimaklumkan susulan susulan laporan oleh majalah CHOICE di dalam laman web Majlis Pengguna Hong Kong (The Hong Kong Consumer Council).

Laporan itu mendedahkan tentang 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut, yang dijual di pasaran Hong Kong mempunyai kandungan acrylamide dan glicydol termasuk biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah, perkara itu disahkan menerusi pemantauan yang dijalankan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015.

"Purata kandungan acrylamide bagi produk biskut di pasaran tempatan adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram).

"Ia berada pada kadar selamat di bawah tanda aras yang ditetapkan oleh Peraturan Suruhanjaya EU iaitu 350 µg/kg," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan yang dilakukan BKM juga menunjukkan bahawa risiko kesihatan terhadap bahan tersebut melalui pengambilan biskut adalah rendah.

Kata Noor Hisham lagi, menurut Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC), acrylamide dan glicidol merupakan bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia.

noor hisham

NOOR Hisham menyarankan supaya orang ramai supaya mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM. — The Star

"Acrylamide adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan.

"Bagaimanapun, bahan pencemaran tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan orang ramai supaya mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM.

Jelasnya lagi, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

"Semakan juga boleh dilakukan melalui laman web, moh.spab.gov.my atau laman sosial Facebook, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jika terdapat isu-isu berkaitan keselamatan makanan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram