Perkasa sistem kesihatan Malaysia antara intipati Bajet 2022 — Ismail Sabri


  • Primer
  • Rabu, 27 Okt 2021

ISMIAL memberitahu R&D perlu diperkasa untuk menghasilkan bukan sahaja vaksin Covid-19 tetapi banyak lagi vaksin lain selain ubat-ubatan baharu. — The Star

PENEKANAN kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya negara bersedia berdepan gelombang baharu pandemik Covid-19 merupakan antara usaha yang akan diteruskan dalam memperkasa sistem kesihatan di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat.

Meurut beliau, Bajet 2022 juga akan memberi tumpuan utama untuk melindungi, memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan selain membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pascapandemik yang lebih mampan.

"R&D termasuk dalam penghasilan vaksin Covid-19 yang bukan sahaja untuk kegunaan rakyat, malah berpotensi dieksport ke negara yang memerlukan.

"Sekarang kita harapkan vaksin dari negara lain, ada satu ketika vaksin (yang ditempah) lewat sampai sehingga memberi kesan kepada kita (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Bajet 2022 bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah beliau lagi, R&D perlu diperkasa untuk menghasilkan bukan sahaja vaksin Covid-19 tetapi banyak lagi vaksin lain selain ubat-ubatan baharu.

Ismail turut menjelaskan walaupun sudah lebih 70 peratus keseluruhan populasi negara lengkap divaksin, namun ia bukan alasan untuk terlalu selesa dengan keadaan tersebut.

"Sebaliknya masih perlu berhati-hati dan meneruskan disiplin mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

"Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), antara keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang adalah mengenai penyusunan semula sistem kesihatan negara," ujarnya.

Hurai beliau lagi, Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia, katanya, akan diperkenalkan sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Semetara itu, beliau turut menjelas lanjut mengenai Bajet 2022 kepada sektor kesihatan.

Kata Perdana Menteri, beliau telah meminta Kementerian Kewangan supaya memberi penekanan bukan sahaja terhadap pembinaan hospital baharu, tetapi juga Klinik Desa.

"Pembinaan Klinik Desa terutama di Sabah dan Sarawak amat penting disebabkan kedudukan hospital yang jauh serta laluan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan di premis kesihatan tersebut," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram