
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diberi laluan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hasrat itu dinyatakan oleh PKR Cabang Tambun dalam usaha untuk meraih kepercayaan para pengundi di kawasan berkenaan.
Menurut Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, kerusi Parlimen Tambun perlu diletakkan calon yang terbukti berwibawa serta mempunyai prinsip kerana pengundi tidak mahu lagi dikhianati.
Menurutnya, ketika ini pelbagai pihak menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di kerusi tersebut, namun calon yang diletakkan perlu yakin memenangi kerusi tersebut.
Jelasnya, suara majoriti akar umbi perlu menjadi keutamaan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan parti mana yang akan bertanding di kerusi yang menjadi rebutan.
"Cubaan untuk mendapatkan kerusi itu biasa dalam politik. Kita bertanding untuk menang. Kita boleh bagi hujah masing-masing namun bergantung kepada siapa boleh menang.
"Kriteria calon paling penting. Kalau tak letak kriteria, orang akan marah tak nak mengundi, sebab itu kita cadangkan Anwar," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta.
Tambah Muhamad Arafat, keputusan itu dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.
Bagaimanapun jelas beliau, sebarang keputusan muktamad masih bergantung kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan kedudukan kerusi milik komponen.
"Kita menganggap kerusi ini sebagai milik PKR memandangkan sebelum diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14, memang PKR bertanding di sini.
"Selaku ketua cabang, kita pelawa Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun. Kita lihat sebelum ini di Pulau Pinang menang, begitu juga di Parlimen Port Dickson. Apabila bertemu dengan Presiden, saya sendiri maklumkan hasrat ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sesi Dialog Bersama Para Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Awam Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak pada Khamis.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram