Nasib empat bekas Adun Melaka dibincang petang Rabu — Anwar


  • Politik
  • Rabu, 20 Okt 2021

ANWAR berkata, nasib empat bekas Adun Melaka sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH pada PRN Melaka akan dibincang pada petang Rabu. — The Star

KEDUDUKAN empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, sama ada diterima bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan pada mesyuarat petang Rabu.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas Adun itu termasuk Adun Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee, menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 November ini.

“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya.

Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat Adun berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata, ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

Media pada Selasa melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka, selepas beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.

Norhizam, bekas Adun Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat Adun yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober, selain Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Anwar Ibrahim, Adun Melaka, PRN Melaka