Anwar tidak terima gaji, kemudahan setaraf menteri


  • Politik
  • Ahad, 17 Okt 2021

ANWAR menyatakan bahawa dia akan menyalurkan dana yang diterima susulan naik taraf pejabat Ketua Pembangkang untuk tabung rakyat miskin.— The Star

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan butiran gaji dan elaun yang diberikan kerajaan.

Ia sebagai respons terhadap naik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu hantaran di akaun media sosial Instagram miliknya pada malam Sabtu.



Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, beliau tidak bersetuju dengan butiran-butiran dalam surat tawaran yang diutuskan Ismail kepadanya.

Berdasarkan status Anwar, terdapat lapan butiran yang disenaraikan termasuk gaji bulanan sebanyak RM14,907.20, elaun keraian (RM12,320), elaun khas (RM1,500) dan elaun rumah berkimlah RM4,000 sebulan.

"Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali.

"Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin," tulisnya.

Tambahnya lagi, beliau turut menegaskan kepada pihak Parlimen supaya tidak memberi peruntukan tambahan dan melakukan pengubahsuaian terhadap pejabat Ketua Pembangkang.

Katanya lagi, meskipun status pejabat Ketua Pembangkang dinaik taraf, beliau tetap akan menjalankan tugas seperti biasa.

"Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini teris dilandasan demokrasi," ujarnya.

Sementara itu, Anwar turut berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan Perdana Menteri.

Katanya, tindakan itu menambah baik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang selayaknya negara demokratik di dunia.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke melalui laman akaun Facebook miliknya memaklumkan Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang.

Naik taraf itu juga termasuk dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.

Beliau memuat naik hantaran itu selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), pada Isnin.— Majoriti