PRN Melaka: Pengundi PAS penentu kemenangan


  • Massa
  • Isnin, 25 Okt 2021

PAS juga akan tersepit jika berlaku pertembungan tiga penjuru. — Bersatu

PENGUNDI PAS boleh menjadi penentu kemenangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November depan.

Meskipun tidak memegang sebarang kerusi di negeri Hang Tuah itu, PAS tetap mempunyai kekuatan tersendiri, sekali gus berpeluang menafikan kemaraan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat majoriti di DUN.

Penganalisis politik, Prof. Sivamurugan Pandian berkata, pengundi PAS boleh mengubah situasi di kawasan yang sokongan diraih adalah 20 peratus undi berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Dengan memberikan contoh kerusi DUN Serkam dan Ayer Molek, beliau berkata, pengundi PAS boleh menjadi penentu jika berlaku pertembungan tiga penjuru di situ pada pada PRN nanti.

Beliau bagaimanapun berkata, dalam keadaan PAS yang masih cuba memainkan peranan untuk menjadi pendamai antara Umno dan Bersatu, parti itu akan tersepit di tengah-tengah jika berlaku persaingan tiga penjuru.

"PAS juga akan tersepit sama ada menyokong calon Umno atau Bersatu jika berlaku pertembungan tiga penjuru," katanya kepada Majoriti.

Sivamurugan berkata, persaingan tiga penjuru akan merugikan kerjasama PAS dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).

"PAS yang komited PN juga tidak mahu bersaing dengan Umno kerana masih mahukan Muafakat Nasional (kerjasama dengan BN).

"Ini bermakna jika dapat elak pertembungan Umno-Bersatu, PAS boleh kerah jentera sepenuhnya," katanya.

Tambah Sivamurugan, sekiranya berlaku perpecahan dalam undi Melayu, ia akan memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding PN dan BN.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Ahmad Marthada Mohamed turut menyifatkan kedudukan PAS sebagai orang tengah juga sukar kerana tersepit antara kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.

"PAS ada hubungan baik dengan Bersatu melalui PN dan Umno menerusi MN, jadi peranan mereka sebenarnya ialah untuk memastikan kedua-dua parti ini boleh bekerjasama kerana kedua-duanya saling mengharapkan sumbangan PAS juga.

"Kelebihan akan berpihak kepada calon PH kalau berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu. Saya lihat kalau tiada kerjasama dimeterai, ini boleh berlaku dalam situasi di mana terdapat pertembungan parti yang cuba menangguk sokongan daripada pengundi Melayu yang sama," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan 20 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, dengan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram