'Umno akan rugi jika tolak kerjasama'


  • Politik
  • Khamis, 14 Okt 2021

ANNUAR mentyatakan bahawa Umno akan rugi jika menolak kerjasama dengan parti-parti lain.

KENYATAAN Umno berhubung pendirian bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh mengheret parti ke dalam masalah, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, pemimpin Umno harus berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan bagi mengelak sebarang masalah kepada parti.

Jelas beliau, kenyataan yang melibatkan pendapat individu hanya memburukkan kagi keadaan dan boleh menjejaskan hubungan antara parti.

"Apa jua pendirian yang dibuat oleh Umno tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri sahaja sebaliknya, harus juga melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang sedang memimpin.

"Umno akan rugi jika menolak kerjasama dengan parti-parti lain kerana parti itu sendiri sememangnya memerlukan kerjasama tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di kementeriannya pada Khamis.

Annuar menyatakan perkara itu susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu.

Ahmad Zahid pada Rabu memberitahu bahawa antara punca Umno membuat pendirian berkaitan tiada kerjasama dengan Pas kerana MN tidak pernah didaftarkan.

Annuar turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap Umno sewaktu mengulas berkenaan MN.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lanjut maksud kenyataan itu.

"Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, saya tidak nampak ada cahaya terang untuk gabungan itu direalisasikan.

Hal ini berlaku sebagaimana beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang pernah diadakan," ujarnya. — Majoriti

Annuar Musa, Zahid Hamidi, Umno, kenyataan, PRN, Melaka