PRN Melaka medan BN uji kekuatan bergerak solo


  • Massa
  • Sabtu, 23 Okt 2021

ZAHID yakin bahawa Barisan Nasional mampu menakluk Melaka secara solo. — Gambar hiasan/Bernama

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini bakal menjadi medan pertempuran politik bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengukur kebolehannya berdiri sendiri serta melihat penerimaan pengundi terhadap parti itu secara tunggal.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff melihat Melaka adalah satu kawasan yang ideal buat BN untuk melakukan 'eksperimen' bergerak secara solo jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Saya lihat kekuatan akar umbi dan dinamik BN terutamanya parti Umno di Melaka adalah lebih kuat berbanding dua lagi seteru mereka iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Pada pandangan saya, Umno masih lagi diterima oleh rakyat Melaka walaupun wujud krisis dalaman yang menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tempoh hari.

"Selain itu, di bawah kepimpinan Ismail Sabri, saya lihat sokongan terhadap Umno semakin kuat dan tidak mustahil mereka boleh merampas kembali kawasan yang mereka tewas sebelum ini serta kawasan yang ditinggalkan oleh bekas Adunnya yang bermasalah," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN akan datang.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, parti itu sudah pun membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu sejak daripada Perhimpunan Agung lalu.

Dalam pada itu, Syed Agil meramalkan, BN tiada masalah untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang olehnya sebelum ini serta kawasan di mana majoriti penduduknya berbangsa Melayu, sementara PH pula mempunyai kekuatan di kawasan yang kebanyakan penduduknya berbangsa Cina.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bakal berlaku kerajaan campuran sekiranya tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk untuk membentuk kerajaan negeri.

"Yang itu kita kena tengok dasar Umno sendiri untuk bekerjasama dengan siapa memandangkan mereka telah bertegas untuk tidak bersama Bersatu dan PN. PH pula lagilah (mereka tak nak bekerjasama).

"Tetapi kita harus ingat bahawa Umno masih lagi mempunyai gabungan bersama PAS di bawah Muafakat Nasional dan mereka juga tidak pernah menolak kerjasama dengan parti tersebut," katanya.

Ketika ditanya sama ada apa yang berlaku di Melaka boleh menjadi refleksi kepada PRU atau PRN akan datang, Syed Agil begitu pun menolak perkara itu dan menjelaskan bahawa konteks yang terdapat di setiap negeri adalah berbeza.

"PRN Melaka adalah ujian buat parti-parti yang bertanding, tetapi ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menghadapi PRU atau PRN akan datang memandangkan setiap negeri mempunyai isu serta sensitiviti masing-masing.

"Apa yang dimahukan oleh pengundi di negeri-negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang dimahukan rakyat Melaka," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

prn, melaka, pru, umno, bn, ph, pn