Pelajar IPT sudah bersedia ke kampus Jumaat ini — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 13 Okt 2021

SEBANYAK 83 peratus daripada 1,162,590 pelajar berdaftar di 595 IPT di bawah KPT telah divaksinasi sepenuhnya. — The Star

PEMBUKAAN semula pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada Jumaat, merupakan waktu yang sesuai bagi memperlihatkan kelangsungan proses pendidikan di kampus dalam proses beralih ke fasa endemik.

Perkara itu dikongsikan pensyarah kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Bity Salwana Alias yang juga memberitahu, rakyat di Malaysia tidak ada pilihan melainkan perlu hidup bersama Covid-19.

Menurutnya,orang ramai tidak boleh terus menunggu pandemik berakhir dan perlu berani mengambil risiko yang munasabah untuk beri peluang kepada pelajar terus belajar di kampus.

"Komitmen pelajar IPT dalam mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19 turut membuktikan bahawa mereka telah bersedia dan teruja untuk kembali ke kampus.

"Saya yakin mereka lebih bersedia dengan SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Pihak IPT sendiri sudah tentu telah membuat persediaan yang rapi bagi menyambut pelajar kembali ke kampus,’’ katanya.

Pada 15 Oktober, semua pelajar IPT akan kembali ke kampus untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka selepas berbulan berhadapan kelas secara maya.

Semua garis panduan kemasukan dan keberadaan di dalam kampus dan prosedur operasi standard (SOP) sudah disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengikut rekod KPT, seramai 1,162,590 pelajar telah mendaftar di 595 IPT di bawah kementerian itu setakat 30 Jun lepas, dengan 83 peratus daripadanya divaksinasi sepenuhnya.

Jumlah itu merangkumi 555,340 pelajar universiti awam, 507,932 pelajar di universiti swasta, 84,578 pelajar di politeknik dan14,740 pelajar di kolej komuniti.

Sehingga 30 September lepas, kadar vaksinasi lengkap bagi 131,151 kakitangan IPT pula telah mencapai 90 peratus.— Bernama