'Kerajaan mahu beri kuasa besar kepada anak muda'


  • Primer
  • Selasa, 19 Okt 2021

KERAJAAN sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda, kata Ismail. — Bernama
KERAJAAN ingin memberi kuasa besar kepada anak muda di negara ini, disebabkan itu kerajaan memberi taruhan kepada Undi 18, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.

Ismail berkongsi perjumpaan beliau dengan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Facebook pada Selasa dan berkata, beliau telah berkongsi pandangan serta pelan tindakan untuk penambahbaikan bersama perwakilan tersebut.

"Saya percaya, suatu hari nanti, ada di antara anak muda yang saya temui hari ini akan menjadi pemimpin besar negara.

"Alhamdulillah, banyak input menarik yang telah saya terima hari ini. InsyaAllah, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda," katanya.

Turut hadir pada perjumpaan itu adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Tambah Ismail, MPPK yang kini dianggotai 41 pemimpin pelajar yang mewakili 41 universiti seluruh negara bukanlah sekadar simbol kepada kesatuan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), malah memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan.

Ismail berkata, beliau juga pernah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 1982/1983 di Universiti Malaya dahulu. — Majoriti

ismail sabri, undi 18, MPPK, anak muda