POLIS menahan seorang penganggur yang bertindak memecahkan cermin 12 buah kereta di sebuah lot parkir di hadapan Public Bank, Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor pada Selasa.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, suspek seorang lelaki berusia 39 tahun bertindak menghayun sebatang besi ke arah cermin kenderaan di lokasi berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh, kejadian itu turut menjadi tular selepas satu klip video berdurasi 11 saat yang memaparkan tindakan suspek tersebar di media sosial.
Katanya, suspek dipercayai mengalami tekanan emosi.
"Semakan awal mendapati suspek pernah dirawat sebagai pesakit mental tetapi sudah lama tidak menerima rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa.
"Pemilik kenderaan melihat seorang lelaki memegang sebatang besi dianggarkan sepanjang satu meter telah memecahkan tingkap cermin hadapan kereta miliknya. Suspek kemudian beralih ke kereta lain dan melakukan perbuatan sama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Ahmad Ridhwan lagi, suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.
Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki tiga rekod atas kesalahan narkotik, bagaimanapun ujian saringan awal air kencing didapati negatif.
"Suspek ditahan oleh anggota polis bersama batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Setakat ini polis menerima lima laporan daripada pemilik kereta yang mengalami kerugian daripada kejadian tersebut," ujarnya.
Katanya lagi, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram