Kes Nurin Jazlin akan disemak semula


  • 112
  • Rabu, 27 Okt 2021

NURIN Jazlin ditemukan tragis dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, Selangor 14 tahun lalu. — Gambar fail/The Star

POLIS memberi jaminan akan menyemak dakwaan bapa kepada Nurin Jazlin Jazimin bahawa mayat yang ditemukan tragis dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, Selangor 14 tahun lalu bukan anaknya.

Bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil sebelum ini kuat mengatakan bahawa berdasarkan pengecaman fizikal terhadap mayat berkenaan, kanak-kanak itu mempunyai ciri-ciri berlainan daripada anaknya yang hilang ketika berusia lapan tahun.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim pihaknya akan menyemak dakwaan bapa mangsa.

"Kita akan semak semula kes ini termasuk jika ada sebarang maklumat baharu yang mengaitkan kepada pembunuhan kanak-kanak itu.

"Siasatan polis akan bermula sebaik sahaja kertas siasatan dibuka kemudian mengumpul keterangan dan bahan bukti sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses selanjutnya," katanya.

Tambah beliau lagi, bagaimanapun pihaknya akan menyemak dakwaan yang dibuat bapa mangsa, kalau ada maklumat baharu juga kita akan siasat,

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menjelaskan, penubuhan jawatankuasa khas bukan di bawah bidang kuasa polis.

Sebaliknya, beliau berkata, ia diputuskan di peringkat lebih tinggi seperti Parlimen.

Beliau turut mengulas tentang laporan pemadanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang didakwa juga dipertikai berikutan keputusannya diperoleh terlalu cepat.

Kata beliau, laporan itu disediakan oleh pakar perubatan dan bukannya polis.

Justeru itu, Jazimin mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes anaknya itu.

Kes Nurin Jazlin menyentuh hati ramai rakyat Malaysia atas kematiannya yang dianggap tragis.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, kira-kira pukul 8 malam, 20 Ogos 2007.

Dia yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Mayat kanak-kanak itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.

Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nurin jazlin, pdrm, kanak-kanak, kejam, culik