Bomoh tua mengaku tak bersalah rogol gadis ketika rawatan


SUSPEK didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama. — Sinar Harian

BOMOH tua yang didakwa kerana merogol seorang gadis berusia 23 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan pada Rabu.

Tertuduh Jusoh Jaafar, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan penolong pendaftar mahkamah Rozaidi Yaacob.

Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik sebuah rumah di Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas, pukul 3 petang, pada 14 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam bela, Nur Fatin Syahirah Abu Hasan.

Mahkamah menetapkan esok sebagai sebutan semula kes di hadapan hakim mahkamah sesyen berkenaan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang lelaki warga emas yang juga bomoh ditahan polis pada tengah malam Sabtu (16 Oktober).

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, suspek ditahan kerana disyaki merogol seorang wanita di sebuah bilik rawatan di kediamannya.

Wanita berkenaan yang datang bersama ibu dan bakal suami dipercayai dirogol selepas suspek meminta dia menanggalkan seluar dan menggosok pahanya ketika menjalani rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram