Ibu dan bakal suami menunggu di luar bilik, gadis diperkosa bomoh tua


  • 112
  • Ahad, 17 Okt 2021

POLIS telah menahan reman suspek bermula semalam hingga 22 Oktober depan. — The Star

DISYAKI merogol seorang wanita berusia 23 tahun, seorang lelaki warga emas yang juga bomoh ditahan polis pada tengah malam Sabtu.

Suspek berusia 67 tahun dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu semasa melakukan proses rawatan tradisional di rumahnya di Kampung Tendong, Pasir Mas, Kelantan, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa datang ke rumah suspek bersama ibu dan bakal suaminya.

"Apabila tiba di rumah itu mangsa telah berjumpa dengan suspek yang dikenali sebagai ‘Ayahsu’ dan isterinya ‘Maksu’ berusia 60-an.

"Suspek kemudian telah meminta mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik rawatan melalui pintu belakang rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan pada Ahad.

Tambahnya lagi, semasa mangsa berada di dalam bilik rawatan seorang diri, suspek telah meminta wanita itu supaya menanggalkan seluar.

Jelas beliau lagi, suspek kemudiannya telah menggosok paha mangsa sebelum bertindak merogol mangsa.

"Suspek turut memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, selain berpesan kepada mangsa supaya datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

"Mangsa yang berasa tertipu telah menceritakan kejadian itu kepada bakal suaminya serta keluarga, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bunut Susu,” ujarnya.

Kata beliau lagi, suspek yang juga pesara itu direman bermula Sabtu hingga 22 Oktober depan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini berkenalan dengan mangsa di sebuah kedai dan mengatakan mangsa mengalami gangguan makhluk halus dan perlu dirawat secara tradisional olehnya.

"Suspek juga dipercayai pernah melakukan perbuatan yang sama terhadap wanita lain, memandangkan sudah menyediakan khidmat perawatan tradisional sejak 1995," jelasnya.

Mohd Nasaruddin juga berharap mana-mana individu yang pernah diperlakukan perkara sama oleh suspek supaya hadir membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. — Majoriti