Gara-gara Fauzi Nawawi, petisyen 'Zero Tolerance to Rape' dua tahun lalu kembali curi perhatian


  • Massa
  • Jumaat, 22 Okt 2021

NAMA Fauzi Nawawi panas setelah videonya bercerita mengenai adegan rogol bersama seorang pelakon wanita tular dalam satu rancangan bual bicara.

SEJAK beberapa hari lalu, nama pelakon tanah air, Fauzi Nawawi menjadi tumpuan gara-gara tindakannya bercerita mengenai adegan rogol bersama seorang pelakon wanita tular dalam satu rancangan bual bicara.

Lanjutan dari kejadian itu, satu petisyen yang dilakukan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), All Women’s Action Society (AWAM) di platform Change.org dua tahun lalu kini kembali mendapat perhatian umum.

Pengarah Kempen Change.org Malaysia, Adli Zakuan berkata, petisyen “Zero Tolerance to Rape” yang dilakukan di platform Change.org kembali mendapat perhatian pada Khamis dan merekodkan peningkatan tandatangan sebanyak hampir 10,000 tandatangan baharu dalam tempoh 12 jam.

"Petisyen yang dimulakan oleh All Women’s Action Society (AWAM) ini adalah petisyen dari Malaysia yang paling banyak menerima tandatangan pernah direkodkan dengan lebih 600,000 penandatangan sejak petisyen ini mula dilancarkan pada dua tahun yang lalu, atau lebih tepat pada 25 November 2019 bersempena dengan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita.

"Setelah sekian lama ia tidak berkembang, petisyen tersebut kembali mendapat perhatian pada lewat petang semalam (21 Oktober) dengan peningkatan tandatangan sebanyak hampir 10,000 tandatangan baharu dalam tempoh 12 jam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hasil daripada itu, kata Adli, perkataan “Sign the Petition” turut menjadi trending di ruang Twitter Malaysia hingga lewat malam Khamis bersama dengan tanda pagar #RapeJokeIsNotFunny serta nama Fauzi Nawawi.

Jelasnya, walaupun petisyen tersebut tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan sesi bual bicara Fauzi Nawawi, peningkatan tandatangan secara drastik ini menunjukkan bahawa mesej "tiada toleransi terhadap rogol" yang dibawa oleh petisyen berkenaan bertepatan dengan sentimen orang ramai terhadap apa yang berlaku di sebalik jenaka terhadap isu rogol.

Tambah Adli, petisyen itu bukanlah merupakan petisyen pertama yang dibuat berhubung masalah jenayah dan jenaka rogol di platform Change.org.

"Pada April tahun ini, petisyen “Make School A Safe Place” yang diinspirasikan dari perjuangan seorang pelajar sekolah menengah, Ain Husniza turun mendapat tandatangan yang banyak sekitar 60,000 manakala satu lagi kempen berkenaan beliau “Free Ain Husniza From Lawsuit” menerima hampir 150,000 tandatangan.

"Ini memberikan mesej jelas pandangan masyarakat menentang pembudayaan/ normalisasi jenayah dan jenaka rogol yang wajar diberikan perhatian semua pihak," tegas Adli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

fauzi nawawi, rogol, change.org, awam, adli zakuan,