Baby hatch hanyalah sikap mengalah, pendidikan seks lebih berkesan — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 27 Okt 2021

SALAH sebuah pusat 'baby hatch' yang terletak di KPJ Pulau Pinang. — Bernama

CADANGAN mewujudkan lebih banyak 'baby hatch' untuk mengatasi isu pembuangan bayi dalam kalangan remaja hanyalah merupakan satu jalan penyelesaian kecil dan tindakan mengalah, kata aktivis wanita dan keluarga.

Sebaliknya, menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, remaja harus diberi penekanan tentang pendidikan seks dalam konteks kekeluargaan serta pencegahan melakukan seks sebelum berkahwin.

"Saya lihat baby hatch ini hanyalah satu kaedah untuk menyelamatkan bayi, bukan satu penyelesaian utama kepada masalah ini. Dan saya lihat mereka yang hamil di luar nikah ini biasanya dalam keadaan terdesak, mereka tak fikir pun nak cari baby hatch itu.

"Bukannya kita tak patut ada (baby hatch), tetapi apa yang kita harus beri penekanan adalah bagaimana untuk mengatasi masalah remaja yang hamil di luar nikah pada peringkat awal. Mengapa pelajar kita mengandung di usia awal?

"Selain itu, mereka juga kurang pengetahuan tentang apa yang harus dilakukan apabila sudah terlanjur, ketika awal kandungan pun mereka tak tahu nak cari siapa, dan apabila melahirkan pula mereka tidak tahu tindakan yang wajar diambil selain daripada membuang bayi," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan sesetengah pihak yang mahu pihak berkuasa supaya mewujudkan lebih banyak baby hatch untuk mengatasi masalah pembuangan bayi.

Beliau menegaskan, ibu bapa tidak boleh berasa malu untuk mengajar anak mereka tentang pendidikan seks sejak dari rumah supaya anak-anak tidak mencari ilmu tersebut di tempat yang salah.

Katanya, anak-anak harus diajar tentang pendidikan seks dalam konteks kekeluargaan termasuk biologi seks itu sendiri, akibat melakukan hubungan seks serta cara-cara pengurusan nafsu yang betul.

"Selain itu, masih ramai ibu bapa yang kekurangan skil dalam mengawal anak-anak daripada terdedah kepada bahan-bahan pornografi di internet serta tidak mendedahkan anak mereka mengenai bahaya sexual predator (pemangsa seks) dan juga sexual grooming (dandanan seksual)," katanya.

Rafidah turut bersetuju dengan cadangan untuk memperkasakan pendidikan seks di negara ini tetapi tegasnya, ia tidak boleh mengikut acuan barat.

Katanya, pendidikan seks yang diamalkan di barat seperti pemakaian kondom untuk mengelakkan kehamilan tidak akan membendung masalah ini, sebaliknya pelajar harus dididik supaya tidak melakukan seks sebelum berkahwin.

"Mungkin ada yang melabel cara ini sebagai konservatif tetapi bagi saya jika kita terdedah kepada pendidikan seks ala barat, kita akan lebih terdedah kepada masalah ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram