Kembar empat di Kota Bharu perlu tablet demi PdPR


  • Massa
  • Selasa, 26 Okt 2021

KOMPUTER riba yang digunakan empat kembar ini sering rosak dan perlu dibaiki. — Bernama

KEMBAR empat yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Jun lepas memerlukan peranti seperti tablet untuk memudahkan tugasan sekolah sepanjang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin Md Khairuddin yang berusia 18 tahun itu memerlukan peranti tersebut memandangkan mereka terpaksa berkongsi dua komputer riba sebelum ini.

Kesemua pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Melor itu perlu menumpukan usaha untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun hadapan.

"Satu (komputer riba) sudah rosak manakala satu lagi terpaksa diberikan kepada abang sulung, Syafiq Muttaqin yang kini meneruskan pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Terengganu.

"Sebenarnya komputer riba yang kami gunakan sekarang merupakan komputer riba terpakai yang dibeli oleh ayah. Disebabkan itu, ia banyak kali rosak dan perlu dibaiki sehingga menjejaskan pembelajaran kami di rumah," kata Amir Muttaqin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pusu di Kelantan pada Selasa.

Sementara itu, ibu mereka Rusmazuaiti Mokhtar, 44, mengharapkan belas ihsan mana-mana pihak untuk menghulurkan bantuan memandangkan keluarganya mengalami kekangan kewangan ketika ini.

Suri rumah itu berkata mereka sekeluarga hanya bergantung hidup dengan pendapatan suaminya, Md Khairuddin Musa yang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah di Ulu Kelantan.

"Sebelum ini anak-anak kembar saya ini cemerlang dalam pelajaran dengan memperoleh keputusan 6A dan 7A dalam peperiksaan SPM.

"Seboleh-bolehnya saya berharap mereka dapat mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM pula," kata Rusmazuaiti yang memiliki tujuh anak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kembar, empat, Kelantan, Kota Bharu, PdPR