PRN Melaka: Batalkan penyertaan calon jika ada perhimpunan


  • Massa
  • Selasa, 26 Okt 2021

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka adalah pada 20 November depan. — Gambar hiasan/The Star

PROFESOR Madya Dr Malina Osman mencadangkan supaya calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibatalkan penyertaannya, sekiranya berlaku perhimpunan melibatkan calon parti itu yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Pakar Kesihatan Awam itu turut menyarankan denda lebih tinggi dapat dikenakan kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika pilihan raya tersebut.

"Saya juga berharap undang-undang lebih ketat wajar dilaksanakan bagi menangani sebarang kemungkinan pelanggaran SOP tersebut," katanya kepada Majoriti.

MalinaOsman

DR MALINA mencadangkan supaya penyertaan calon PRN Melaka dibatalkan sekiranya berlaku perhimpunan, yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa Isnin sehingga 27 November.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, larangan tersebut selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) SOP Fasa Empat yang terkini.

Katanya, sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Dr Malina Osman, PRN Melaka