Isu rasuah: 'Kita hanya berminat tangkap bilis berbanding jerung'


  • Massa
  • Isnin, 25 Okt 2021

BANYAK unsur-unsur rasuah berlaku terutamanya dalam pembalakan dan perlombongan, dakwa Peka. — Gambar hiasan/Agensi

MALAYSIA wajar menjadikan China, Indonesia dan Singapura sebagai rujukan dalam usaha membasmi kegiatan rasuah secara habis-habisan.

Jika dilihat, negara luar giat melawan aktiviti tidak bermoral itu tanpa sebarang pilih kasih mahu pun prejudis.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, buat ketika ini pihaknya tidak nampak kesungguhan pada Malaysia.

“Tetapi Malaysia ini tidak nampak kesungguhannya. Sesiapa yang ditangkap kerana rasuah itu, boleh dilepas, tetapi ikan-ikan bilis (pelaku rasuah kecil) mereka tangkap, ikan jerung (pelaku rasuah besar) itu mereka lepas.

“Itu sebabnya, rasuah tidak boleh dihapuskan di Malaysia kerana orang-orang berpangkat besar yang makan rasuah itu tidak diambil tindakan dan dilepaskan.

“Ini juga sebabnya mengapa kita tengok rasuah itu perlu dibendung secara habis-habisan,” katanya.

Shariffah Sabrina berasakan kerajaan perlu memandang lebih serius segala hal berkaitan rasuah terutamanya membabitkan pembalakan serta perlombongan.

Katanya, aktiviti itu banyak dipalit dengan unsur rasuah dan ia akan beri kesan buruk kepada alam sekitar.

“Saya nampak memang banyak unsur-unsur rasuah terutamanya dalam pembalakan dan perlombongan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rasuah, singapura, indonesia