Terengganu paling tinggi kena notis kesalahan merokok


  • Primer
  • Selasa, 26 Okt 2021

INDIVIDU yang dikenakan notis boleh dikompaun RM250. — Bernama

TERENGGANU muncul negeri yang menerima notis kesalahan tertinggi apabila merekodkan 652 notis sepanjang tempoh Januari hingga 24 Oktober tahun ini.

Pahang kedua tertinggi dengan 601 notis, diikuti Sarawak (365), Perak (356) dan Kuala Lumpur (303).

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,419 notis yang dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat makan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mempergiat aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dan kebenaran makan di tempat makan diberikan oleh kerajaan," katanya.

Semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa 1 Jan 2019 di seluruh negara.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan larangan itu tidak bersifat menghukum perokok sebaliknya mengelak komplikasi kepada orang sekeliling.

Katanya, KKM komited membantu golongan berkenaan untuk berhenti merokok dan pendaftaran bagi perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Khairy, merokok, notis kesalahan