SEGALA kos berkaitan untuk membawa pekerja asing ke negara ini akan ditanggung sendiri oleh majikan berkaitan.
Kesemua kos itu membabitkan kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib yang dilalui sejurus tiba di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pintu masuk yang dibenarkan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 serta pintu masuk di Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan nanti.
Hamzah berkata, kesemua pekerja asing perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu dilaporkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya sudah pun meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan pekerja asing.
Kemasukan itu bagi membolehkan keperluan sektor perladangan dapat dipenuhi, begitu juga dengan sektor lain yang dibenarkan.
SOP kemasukan pekerja asing merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.
Mengulas mengenai Program Rekalibrasi Pulang, Hamzah berkata, setakat 21 Oktober, seramai 147,705 pendatang tanpa izin berdaftar untuk program berkenaan dan seramai 124,423 daripadanya sudah pun pulang ke negara asal.
"Kerajaan menjana RM71 juta daripada pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini melalui bayaran kompaun yang dikutip," katanya.
Tambahnya, kejayaan kutipan itu didorong oleh pembukaan kaunter khas untuk memudah cara kepulangan mereka di beberapa pintu keluar negara iaitu di KLIA, KLIA2, Stulang Laut dan Pasir Gudang di Johor
Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, Hamzah berkata, seramai 212,926 pendatang tanpa izin sudah pun berdaftar untuk diregularisasikan sebagai pekerja asing yang sah dan menyaksikan 34,318 individu lulus verifikasi manakala 20,889 lagi gagal.
"Seramai 157,719 pendatang tanpa izin masih belum hadir proses verifikasi di Jabatan Imigiresen.
“Peserta yang gagal dalam proses regularisasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan secara automatik dihantar pulang melalui Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.
Setakat 20 Oktober lalu, wang cagaran yang terkumpul hasil daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah berjumlah RM106 juta. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram